Wednesday, September 21, 2011

Boleh ikuti kursus PhD tanpa ijazah sarjana



Boleh ikuti kursus PhD tanpa ijazah sarjana


2011/09/21


MOHAMED MUSTAFA (kiri) berbincang sesuatu bersama Ahmad Idham dan A Razak sambil disaksikan Fadillah (dua dari kiri) di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR: Hanya berbekalkan lapan tahun pengalaman bekerja dalam industri berasaskan penyelidikan, inovasi atau daya saing dan tanpa ijazah sarjana, seseorang kini boleh mengikuti kursus Doktor Falsafah (PhD).

Dinamakan Program PhD Industri yang diperkenalkan Kementerian Pengajian Tinggi di bawah Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN), program itu ketika ini hanya ditawarkan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Matlamat program itu adalah untuk menggalakkan perkongsian pengetahuan antara pengamal industri dan ahli akademik dalam melahirkan pekerja berpengetahuan tinggi sebagai pemangkin kepada inovasi dan penyelidikan negara.
Antara 10 calon kumpulan perintis program itu ialah dua pengarah filem, A Razak Mohaideen dan Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang memilih industri berkaitan perfileman sebagai tajuk kajian. Lapan calon lain membabitkan eksekutif syarikat multinasional.

Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata program sepenuh masa itu menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk mencapai sasaran 60,000 pemegang PhD di negara ini menjelang 2023.

“Ketika ini Malaysia mempunyai kurang 20,000 pemegang PhD dan kita menawarkan kepada pengamal industri dari syarikat multinasional dan organisasi tempatan yang berwibawa.

“Calon tidak perlu menghadiri kuliah di UUM, sebaliknya akan ditemui oleh penyelia di tempat kerja mereka. Ia ditawarkan kepada mereka yang berpengalaman melebihi lapan tahun dalam bidang masing-masing, selain tidak disyaratkan memiliki sarjana,” katanya pada majlis memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) antara UUM dan Tan Chong Education Services Sdn Bhd (TCESSD) di sini, semalam.
Pada majlis itu, UUM diwakili Mohamed Mustafa, manakala TCESSD oleh Penasihatnya, Datuk Yaacob Wan Ibrahim. Hadir menyaksikan majlis itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof.

Melalui MoA itu, TCESSD akan menaja sekurang-kurang lima pegawai pengurusan atasannya untuk mengikuti program itu di UUM.

Antara keistimewaan program itu adalah ia ditaja sepenuhnya Kementerian Pengajian Tinggi mellaui program MyBrain 15 bagi calon yang memenuhi syarat.

Untuk keterangan lanjut, mereka yang layak dan berminat boleh
melayari laman sesawang http://www.uum.edu.my.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BolehikutikursusPhDtanpaijazahsarjana/Article

No comments:

Post a Comment